Judul : 30 Pemain Bola Sepak Dijemput Ajal Ketika Beraksi Atas Padang
link : 30 Pemain Bola Sepak Dijemput Ajal Ketika Beraksi Atas Padang
30 Pemain Bola Sepak Dijemput Ajal Ketika Beraksi Atas Padang
Sesungguhnya mati itu adalah pasti. Jika telah ditakdirkan kita menemui ajal, ia pastinya tidak akan lewat atau cepat walaupun sesaat. Di mana sahaja kita berada, apa sekalipun yang sedang kita kerjakan, bila ajal tiba menjemput, pasti kita akan pergi. Kerana itu kita perlu sentiasa ingatkan kematian agar kita sentiasa bersedia bila ia datang menjemput.
Pemain bola sepak juga tidak terlepas daripada dijemput ajal ketika sedang beraksi di atas padang. Memang tidak banyak kes seperti ini namun ia bukannya mustahil. Terdapat nama-nama besar yang telah meninggal dunia.
Disebabkan insiden itu juga, aku berminat untuk berkongsi senarai 30 pemain bola sepak sepanjang zaman yang meninggal dunia disebabkan bola sepak. Kematian mereka kebanyakannya disebabkan serangan dan kegagalan jantung di samping beberapa kes disebabkan kecederaan yang dialami dan faktor alam sekitar seperti petir.
1. David “Soldier” Wilson (27 Oktober 1906)
Semasa bermain untuk Leeds City menentang Burnley pada 27 Oktober 1906, Wilson, 23, meninggalkan padang pada separuh babak kedua selepas mengalami sakit dada. Ketika itu, dua rakan sepasukannya turut mengalami kecederaan. Beliau tetap kembali bermain walaupun nasihat perubatan mengatakan sebaliknya. Bagaimanapun, beliau tidak dapat menghabiskan permainan dan telah meninggalkan padang selepas pemain Burnley, Arthur Bell menjaringkan gol kemenangan pelawat pada lewat permainan. Wilson rebah dan terpaksa dibawa ke bilik persalinan Leeds di mana beliau meninggal dunia walaupun pelbagai usaha menyelamat dilakukan. Bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian Wilson disebabkan serangan jantung.
2. Tommy Blackstock
(8 April 1907)
Thomas Blackstock, 25, ialah seorang pemain bola sepak yang dilahirkan di Kirkcaldy, Scotland. Posisinya adalah sebagai seorang pertahanan. Beliau pernah bermain untuk Dunniker Rangers, Blue Bell, Raith Rovers, Leith Athletic dan Cowdenbeath sebelum menyertai Manchester United. Pada 8 April 1907, beliau meninggal dunia di atas padang semasa bermain menentang St Helens. Selepas menanduk bola, dia rebah dan kemudiannya mati.
3. Bob Benson (19 Februari 1916)
Robert William Benson, 33, merupakan pemain pertahanan (full back) yang banyak menghabiskan kebanyakan kerjaya bola sepak bersama Sheffield United sebelum berhijrah ke Arsenal. Beliau juga pernah bermain untuk Newcastle United dan Southampton.
Akibat daripada peperangan, bola sepak profesional telah digantung pada tahun 1915. Benson berhenti bermain untuk bekerja di Royal Arsenal, Woolwich, iaitu sebuah kilang peluru. Beliau sentiasa berhubung dengan kelab lamanya (Arsenal) dan pada 19 Februari 1916, beliau menghadiri perlawanan London Combination di Highbury menentang Reading. Disebabkan bekas rakan sepasukannya, Joe Shaw tidak dapat bermain, Benson secara sukarela menggantikannya. Setelah tidak bermain secara aktif selama hampir setahun, beliau rebah di atas padang pada separuh babak kedua dan terpaksa dikeluarkan. Tidak lama kemudian, beliau meninggal dunia di bilik persalinan. Benson disahkan meninggal dunia akibat saluran darah yang pecah dan mayatnya dikebumikan dengan dipakaikan baju Arsenal.
4. David Arellano -(3 Mei 1927)
Pada 3 Mei 1927 di Valladolid, Sepanyol, semasa siri jelajah bersama Colo Colo, David Arellano, 24, mengalami peritonitis selepas bertembung dengan seorang pemain lawan. Beliau dibawa ke klinik berdekatan dan akhirnya meninggal dunia. Untuk memperingati beliau, jersi kelab Colo Colo ditambah garis hitam di atas lambang pasukan dan Estadio Monumental David Arellano dinamakan untuk nama stadium pasukan ini.
5. John Thomson (5 September 1931)
Pada 5 September 1931, Celtic menentang musuh tradisi mereka, Rangers di Ibrox Park, Glasgow di hadapan 80,000 penonton. Di awal babak kedua, Thomson, 22, iaitu penjaga gol Celtic bersaing mendapatkan bola dengan pemain Rangers, Sam English. Mereka bertembung lalu menyebabkan kepala Thomson termakan lutut Sam English. Beliau dibawa ke Victoria Infirmary untuk rawatan lanjut. Pada pukul 5 petang, beliau mengalami gangguan pada bahagian otaknya dan pembedahan kecemasan telah dijalankan. Malangnya, pembedahan itu tidak berjaya dan beliau telah disahkan meninggal dunia pada 9:25 malam.
6. Jimmy Thorpe (5 Februari 1936)
James Horatio “Jimmy” Thorpe, 22, bermain 139 perlawanan sebagai penjaga gol untuk Sunderland. Beliau mempunyai masa depan yang cerah kerana menjadi pilihan utama untuk menjaga gawang di usia muda. Kehidupan dan kerjaya beliau berhenti disebabkan insiden 1 Februari 1936 apabila beliau ditendang di kepala dan dada selepas menangkap bola dalam perlawanan menentang Chelsea di Roker Park. Beliau bertahan untuk bermain sehingga perlawanan tamat tetapi meninggal dunia di hospital 4 hari kemudiannya kerana diabetes dan kegagalan jantung.
Insiden tragis ini membawa kepada perubahan dalam peraturan, di mana pemain tidak lagi dibenarkan untuk menaikkan kaki mereka apabila penjaga gol telah mempunyai kawalan bola dalam tangan. Penjaga gol di seluruh dunia semestinya terhutang budi kepada beliau.
7. Nikola Mantov (1 Julai 1973)
Pada tahun 1973, semasa perlawanan bola sepak antara FK Osogovo dan FK FAS 11 Oktomvri, Nikola Mantov, 23, salah seorang pemain terbaik FK Osogovo ketika itu, rebah di atas padang lalu meninggal dunia. Sebagai penghormatan, gelanggang FK Osogovo dinamakan Nikola Mantov Stadium. Stadium yang mempunyai kapasiti kira-kira 5000 penonton ini adalah satu-satunya stadium bola sepak di Republik Macedonia yang dinamakan sempena nama pemain bola sepak. FK Osogovo juga telah menamatkan jersi bernombor 7 sebagai penghormatan kepada Nikola Mantov.
8. Pavão (16 Disember 1973)
Fernando Pascoal das Neves atau dikenali sebagai Pavão ialah seorang pemain tengah untuk FC Porto dalam Liga Portugis. Pada 16 Disember 1973, Pavão rebah selepas membuat hantaran pada minit ke-13 perlawanan liga menentang Setúbal di Estadio das Antas. Beliau dikatakan telah meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 26 tahun.
9. Renato Curi (30 Oktober 1977)
Renato Curi, 24, membantu Perugia mengukir sejarah untuk menduduki tempat ke-6 dalam kempen Serie A 1976-77. Khabar angin mula tersebar mengatakan beliau berkemungkinan akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan Itali. Walau bagaimanapun, ini tidak berlaku kerana Renato Curi meninggal dunia pada 30 Oktober 1977 semasa perlawanan di tempat sendiri menentang Juventus, lima minit selepas separuh babak kedua bermula akibat serangan jantung. Stadium di mana berakhirnya karier Curi kemudiannya dinamakan sempena nama beliau selain sebuah pasukan Serie D yang menamakan pasukan mereka Renato Curi Angolana.
10. Erik Jongbloed (23 September 1984)
Anak kepada Jan Jongbloed iaitu penjaga gol pasukan kebangsaan Belanda dalam Piala Dunia 1974 dan 1978. Antara sebilangan kecil pemain yang meninggal dunia disebabkan panahan petir sewaktu bermain dalam satu perlawanan pertunjukan.
11. Samuel Okwaraji (12 Ogos 1989)
Samuel Sochukwuma Okwaraji, 25, ialah salah seorang pemain skuad kebangsaan Nigeria. Apa yang menarik, beliau juga ialah seorang peguam berkelayakan yang mempunyai ijazah sarjana dalam undang-undang antarabangsa dari University of Rome. Dia rebah lalu meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada minit ke-77 semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Angola di Lagos National Stadium di Surulere, Lagos pada 12 Ogos 1989.
12. Andrés Escobar (2 Julai 1994)
Andrés Escobar Saldarriaga (13 Mac 1967 – 2 Julai 1994), digelar sebagai “The Gentleman of Football” ialah seorang pemain bola sepak Colombia yang ditembak mati di Medellin. Banyak pihak percaya punca utama dia dibunuh kerana jaringan gol sendiri semasa Piala Dunia 1994 yang kononnya menyebabkan beberapa tokan besar dadah kalah dalam pertaruhan.
Video jaringan gol sendiri Andrés Escobar
13. Hedi Berkhissa (4 Januari 1997)
Hedi Berkhissa, 24, ialah pemain bola sepak Tunisia yang bermain untuk Espérance dan pasukan kebangsaan Tunisia sebagai pertahanan kiri. Pada 4 Januari 1997, dalam perlawanan persahabatan antara Esperance dan kelab Perancis, Olympique Lyon di Stade Chedli Zouiten, Berkhissa mengalami serangan jantung di atas padang pada minit-minit terakhir permainan dan meninggal dunia.
14. Robbie James (18 Februari 1998)
Robert “Robbie” Mark James, 40, ialah seorang pemain bola sepak antarabangsa Wales yang bermain untuk banyak kelab termasuk Swansea City, Stoke City dan Queens Park Rangers. Beliau mewakili negaranya dalam 47 perlawanan sepanjang tempoh sepuluh tahun dan menjaringkan sebanyak 7 gol antarabangsa. Kelab terakhir yang disertainya ialah Llanelli di mana beliau telah rebah lalu meninggal dunia dalam perlawanan menentang Porthcawl pada 18 Februari 1998.
15. Eri Irianto
(2 April 2000)
Pemain bola sepak negara jiran, Eri Irianto, 26, ialah pemain bola sepak Indonesia yang bermain untuk Persebaya Surabaya. Beliau meninggal dunia pada 3 April 2000 selepas rebah di atas padang akibat serangan jantung semasa perlawanan liga menentang PSIM Yogyakarta di Gelora 10 November Stadium @ Stadion Gelora 10 Nopember. Kini, stadium ini juga dikenali sebagai “Wisma Eri Irianto”. Semasa beraksi, beliau memakai jersi bernombor 19 yang tidak lagi diberikan kepada pemain lain selepas kematiannya.
16. Catalin Hildan (5 Oktober 2000)
Catalin Hildan, 24, ialah seorang pemain bola sepak Romania yang bermain untuk Târgovişte dan Dinamo Bucureşti @ Dinamo Bucharest selain 8 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Romania. Beliau meninggal dunia pada 5 Oktober 2000 dalam satu perlawanan persahabatan antara Dinamo dan FC Olteniţa selepas mengalami serangan jantung dan rebah pada minit ke-74 permainan. Ruang penonton di arah utara Stadium Dinamo dinamakan “Peluza Cătălin Hîldan” (Cătălin Hîldan Stand) untuk menghormati kematian beliau. Beliau digelar “The Only Captain” oleh penyokong Dinamo dan sorakan “The Only Captain” itu dilaungkan oleh para penyokong dengan penuh hormat dan bangganya.
17. Hernán Gaviria (24 Oktober 2002)
Hernán Gaviria Carvajal, 32, ialah seorang pemain bola sepak Colombia yang bermain sebagai pemain tengah. Gaviria meninggal dunia pada 24 Oktober 2002 apabila beliau dan rakan sepasukan, Giovanni Córdoba disambar kilat semasa sesi latihan bersama Deportivo Cali. Beliau dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian sementara rakan sepasukannya, Córdoba meninggal dunia tiga hari kemudian.
18. Marc-Vivien Foé (26 Jun 2003)
Marc-Vivien Foé, 28, ialah pemain bola sepak antarabangsa Cameroon yang disenaraikan dalam skuad kebangsaan untuk Piala Konfederasi FIFA, kejohanan yang dimainkan antara juara benua. Beliau bermain semasa kemenangan menentang Brazil dan Turki dan direhatkan untuk perlawanan menentang Amerika Syarikat di peringkat kumpulan. Pada 26 Jun 2003, Cameroon bertemu Colombia dalam peringkat separuh akhir yang diadakan di Stade de Gerland di Lyon, Perancis. Pada minit ke-72 perlawanan, Foé rebah dalam bulatan di tengah padang dengan tiada pemain lain di sekitarnya. Selepas percubaan untuk memulihkannya di atas padang, beliau telah diusung keluar. Walaupun beliau masih hidup apabila tiba di pusat perubatan stadium, Foé meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Semasa mewakili negaranya ketika itu, Foé sedang dipinjamkan ke Manchester City dari Olympique Lyon. Jersi bernombor 23 yang dipakai Foé di City tidak lagi dikeluarkan. Begitu juga jersi bernombor 17 yang pernah dipakai Foé di Lyon sebelum kemasukan rakan senegaranya selepas itu, Jean Makoun yang memilih nombor 17 sebagai memperingati Foé untuk dirinya dan seluruh rakyat Cameroon.
Video saat-saat akhir Marc-Vivien Foé
19. Miklós Fehér (25 Januari 2004)
Miklós “Miki” Fehér, 24, ialah seorang pemain bola sepak Hungary yang berfungsi sebagai penyerang. Pada 25 Januari 2004, Feher meninggal dunia akibat masalah jantung semasa perlawanan antara Vitória de Guimarães dan pasukannya, Benfica di Guimarães, Portugal. Kematian beliau boleh dikatakan antara yang paling mendapat perhatian umum kerana adanya rakaman video saat-saat beliau rebah di atas padang.
Video saat-saat akhir Miklós Fehér
20. Serginho (27 Oktober 2004)
Paulo Sérgio Oliveira da Silva, 30, atau lebih dikenali sebagai Serginho, ialah seorang pemain bola sepak Brazil. Beliau bermain untuk São Caetano sebagai seorang pertahanan. Kematiannya disebabkan kegagalan jantung pada 27 Oktober 2004, hari perlawanan menentang São Paulo.
Video saat-saat akhir Serginho
21. Cristiano Júnior (5 Disember 2004)
Cristiano Sebastião de Lima Junior, 24, ialah penyerang untuk Dempo Sports Club, Goa. Semasa menjaringkan gol keduanya pada minit ke-78 dalam perlawanan akhir Federation Cup (India), dia berlanggar dengan penjaga gol Mohun Bagan, Paul Subrata. Selepas kembali bangun, dia rebah. Percubaan untuk menyedarkan beliau tidak berjaya. Permainan bersambung selepas Junior dibawa keluar dari padang dan beliau meninggal dunia di hospital.
22. Mohamed Abdelwahab (31 Ogos 2006)
Mohamed Abdelwahab, 23, ialah pemain pertahanan kiri Mesir. Beliau seorang watak penting dalam skuad Mesir yang memenangi Piala Negara-negara Afrika 2006. Beliau rebah semasa sesi latihan pagi kelabnya, Al-Ahly pada 31 Ogos 2006. Walaupun telah dikejarkan ke hospital, doktor gagal untuk membantunya dan beliau meninggal dunia akibat masalah jantung. Nombor 3 miliknya diumumkan bersara oleh kelab.
23. Antonio Puerta (28 Ogos 2007)
Antonio José Puerta Pérez, 22, ialah pemain bola sepak Sepanyol yang bermain sepenuh kariernya untuk Sevilla. Pada 25 Ogos 2007, Puerta pengsan dan tidak sedarkan diri dalam kawasan penalti disebabkan kegagalan jantung semasa perlawanan pertama Sevilla untuk musim 2007-08 di laman sendiri, Sánchez Pizjuán menentang Getafe. Beliau kembali sedar dan telah digantikan, malah berjalan sendiri ke bilik persalinan sejurus dikeluarkan. Namun, beliau kembali pengsan sekali lagi dan dibawa ke hospital. Puerta meninggal dunia pada 2:30 petang 28 Ogos 2007. Sebagai tanda hormat, para pemain Sevilla dan musuh setempat, Real Betis menghadiri hari pengebumian beliau.
Video Antonio Puerta
24. Phil O’Donnell (29 Disember 2007)
Phillip “Phil” O’Donnell, 35, ialah seorang pemain bola sepak Scotland yang bermain untuk Motherwell, Celtic dan Sheffield Wednesday. Pada 29 Disember 2007, O’Donnell rebah semasa perlawanan menentang Dundee United. Beliau telah dirawat di dalam kawasan padang selama kira-kira 5 minit oleh doktor kelab Motherwell dan Dundee United sebelum dibawa oleh ambulans ke hospital. Walau bagaimanapun, beliau telah disahkan mati tidak lama kemudian disebabkan kegagalan jantung.
Video Phil O’Donnell
25. Guy Tchingoma (9 Februari 2008)
Guy Tchingoma Kaos, 22, ialah seorang pemain bola sepak kelahiran Congo tetapi bermain untuk Gabon di peringkat antarabangsa. Bermula tahun 2007, dia bermain di bahagian tengah untuk FC 105 Libreville. Pada 9 Februari 2008, beliau rebah selepas berasak dengan pemain lawan dalam perlawanan antara kelabnya dan US Mbiliandzami di Stadium Mondedang de Sibang. Beliau kemudiannya dilaporkan meninggal dunia ditambah dengan ketiadaan pasukan perubatan semasa perlawanan. Aku tak jumpa gambar beliau.
26. Jumadi Abdi (15 Mac 2009)
Jumadi Abdi, 26, merupakan pemain bola sepak Indonesia yang bermain di posisi tengah untuk PKT Bontang (kini Bontang FC). Sebelum bermain untuk PKT Bontang, beliau bermain untuk Persiba Balikpapan dan Persikota Tangerang. Pada 15 Mac 2009, Abdi meninggal dunia di Rumah Sakit Pupuk Kaltim selepas menjalani rawatan intensif selama lapan hari akibat gegaran dialami beliau dalam perlawanan 7 Mac menentang Persela Lamongan. Abdi meninggal dunia akibat jangkitan pada organ.
27. Endurance Idahor (6 Mach 2010)
Endurance Idahor, 25, ialah seorang pemain bola sepak Nigeria yang bermain untuk kelab Sudan, Al-Merreikh. Beliau rebah semasa perlawanan menentang Alamal Atbara dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital. Laporan bedah siasat mendedahkan bahawa dia mengalami serangan jantung.
Video Endurance Idahor
28. Naoki Matsuda (4 Ogos 2011)
Naoki Matsuda ialah seorang pemain bola sepak Jepun yang bermain sebagai pemain pertahanan tengah. Pada 2 Ogos 2011, beliau rebah semasa sesi latihan bersama kelabnya, Matsumoto Yamaga disebabkan kegagalan jantung selepas 15 minit memanaskan badan. Dua hari kemudian, beliau meninggal dunia pada usia 34 tahun.
29. Bobsam Elejiko (13 November 2011)
Bobsam ‘Bob’ Elejiko, 30, ialah seorang pemain bola sepak Nigeria yang bermain sebagai pemain pertahanan tengah. Elejiko rebah semasa perlawanan pasukannya, K. Merksem S.C. menentang F.C. Kaart pada 13 November 2011. Walaupun pelbagai usaha dilakukan, Elejiko telah disahkan mati dan perlawanan itu ditangguhkan. Beliau dilaporkan mati akibat saluran aorta yang pecah.
30. Afiq Hamizan (April 2012)
Untuk pemain bola sepak terakhir, aku sebenarnya nak masukkan kisah Allahyarham Mokhtar Dahari sebelum terbaca kisah adik ini di myMetro. Kisahnya lagi relevan dengan tajuk untuk entri ini. Difahamkan, Afiq Hamizan Abdul Hamid yang berusia 15 tahun meninggal dunia semasa mewakili pasukan sekolahnya dalam kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat (MSSDHL) yang diadakan di sebuah sekolah menengah agama.
Mangsa yang bermain sebagai penjaga gol mewakili sekolahnya cedera di kepala selepas terkena sepakan pemain pasukan lawan. Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Semenyih untuk rawatan oleh pihak sekolah. Bagaimanapun, keadaannya menjadi parah sebelum dihantar ke Hospital Kajang. Doktor mengesahkan mangsa perlu menjalani pembedahan kepala berikutan darah beku selain keadaannya yang sudah kritikal, dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula namun gagal diselamatkan. – sambung baca di myMetro
Sebelum tekan pangkah, tengok dulu satu lagi video menarik di bawah. Kejadian dikatakan berlaku di Arab Saudi. Namun, maklumat mangsa dalam video ini tidak dikenal pasti. Penat sudah untuk mencari. haha…
Sumber: kongsakongsi
✍ Sumber Pautan : ☕ Tahukah Anda Rakyat Malaysia?
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2tcnmGm
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Appear first on Times News Malaysia
Demikianlah Artikel 30 Pemain Bola Sepak Dijemput Ajal Ketika Beraksi Atas Padang
Anda sekarang membaca artikel 30 Pemain Bola Sepak Dijemput Ajal Ketika Beraksi Atas Padang dengan alamat link https://timesnewsmalaysia.blogspot.com/2017/06/30-pemain-bola-sepak-dijemput-ajal.html