Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, ini kerana CPTPP perlu melalui proses yang sama seperti ICERD di mana ia perlu diratifikasi terlebih dahulu sebelum dikuatkuasakan.

Katanya, beberapa tokoh ekonomi termasuk pemenang Hadiah Nobel untuk ekonomi, Joseph Stiglitz dan pakar ekonomi negara, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram berpandangan, CPTPP tidak akan memberi apa-apa faedah ekonomi kepada negara serta menjangkakan perkara negatif berlaku jika diratifikasi.

Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyokong perjanjian ini kerana ketidakadilannya, masih terdapat pihak dalam kerajaan yang sedang giat melobi Kabinet untuk meratifikasi perjanjian berkenaan.

Perkara ini amat mengecewakan kerana usaha pihak itu seolah-olah tidak memikirkan kesan buruknya terhadap pelbagai kepentingan negara termasuk bahaya dan risiko terhadap kedaulatan negara, perkembangan ekonomi, perundangan dan legislatif, kebajikan rakyat serta pekerja termasuk isu-isu kepentingan masyarakat bumiputera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

CPTPP atau dahulunya lebih dikenali Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) merupakan satu perjanjian perdagangan bebas yang telah pun ditandatangani pada awal tahun ini oleh 11 buah negara termasuk Malaysia.

Tambah Ahmad Yazid, CPTPP adalah jelas akan menggugat dasar sedia ada yang selama ini dibina untuk mencapai perpaduan kaum, kesejahteraan sosio-ekonomi dan kemakmuran negara.

Masyarakat Melayu dan bumiputera khususnya harus sedar dengan ancaman yang dihadapi akibat ratifikasi CPTPP yang kesannya adalah lebih teruk berbanding ICERD,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE   #CelahGelegar