Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, khabar angin mengenai beliau yang akan dilantik sebagai Menteri Besar telah menjadi viral sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi.
Malah menurutnya, beliau sebelum ini juga pernah  disebut-sebut bakal dilantik menjadi Menteri Pertahanan dan Menteri Pelancongan serta Speaker Dewan Rakyat.
"Sekarang ini, macam-macam khabar angin mengenai kedudukan saya termasuk dilantik sebagai Menteri Besar.
"Saya tak kecewa sekiranya saya tidak dilantik sebagai Menteri Besar sebab saya menjadi pimpinan selama 20 dalam reformasi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin yang menjadi viral dengan mendakwa beliau bakal menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang akan dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri susulan masalah kesihatan dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, ADUN Gurun itu mengesahkan beliau telah menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di pejabat baginda di Wisma Darul Aman di sini Sabtu lalu.
Johari berkata, beberapa perkara dibincangkan ketika mengadap Sultan Sallehuddin seperti berkaitan pentadbiran dan pembangunan negeri.
Ya, saya menghadap baginda Sultan Kedah, soal Menteri Besar ini jika ada rezeki adalah,” katanya. - K! ONLINE